21 July 2008

MINUM PAGI + MAK CIK MUNAH

Setiap pagi sejak kebelakangan ini dalam perjalanan ke tempat kerja aku akan singgah di gerai Mak Cik Munah yang terletak berhampiran Sek. Ren. Keb. Kota Damansara. Aku akan beli dua biji karipap dan sebiji apam. Kuih karipap ini biasanya akan ku makan sambil memandu ketika kereta terhenti disebabkan jalan sesak atau ketika di persimpangan lampu isyarat waktu menunggu lampu hijau, berselang seli dengan menghirup kopi panas yang ku buat sendiri dan dimasukkan dalam thermos. Apam pula akan ku simpan untuk dimakan sewaktu di pejabat nanti. Begitulah rutin aku setiap pagi makan dua biji keripap dan sebiji apam untuk mengalas perut.

Istimewanya apam Mak Cik Munah ini ialah bancuhannya menggunakan ibu roti tidak seperti apam gerai lain yang menggunakan serbuk pernaik. Apam ini Mak Cik Munah potong empat segi dan disaluti kelapa. Apam jenis ini biasa Mak aku buat semasa aku kecil-kecil dulu. Setiap kali aku makan apam ini aku teringat mak aku kat kampung.


Sebab itu setiap kali aku singah di gerai Mak Cik Munah itu aku akan tanyakan...

"Apam ada?.." Mak Cik Munah dengan tersenyum ramah mengatakan

"Ada" tapi kalau tak ada Apam hari tu, Mak Cik Munah akan berkata....

"Hari ni tak ada... tapi tak pe.. Esok mak cik buatkan" begitulah baiknya Mak Cik Munah pada pelanggan tetapnya ini walaupun aku hanya beli seketul je setiap hari. Kadang disambung pula bercerita memberi alasan....

"Semalam Mak Cik Pergi Seremban rumah anak.. lambat sikit baliknya.. itu yang tak sempat nak buat" aku cuma senyum.

Hari nii.. Aku cari apam di gerai Mak Cik Munah tapi tak ada, Mak Cik Munah menunjukkan apam cokelat yang baru dibuatnya

"Cuba pula yang nii" katanya.

"Saya suka apam yang lama"

"Belum cuba belum tahu" jawapnya. Aku ketawa. Bolehkah aku merubah selera?...

No comments: