Banyak betul peristiwa berlaku dalam dua tiga bulan ini. Yang datang dan juga yang akan pergi, silih berganti.
Benar kehidupan ini rupanya satu permainan yang dikatakan sandiwara. Pelakon-pelakonnya adalah diri kita sendiri yang ditentukan oleh watak-watak lain yang memainkan peranan masing-masing.
Seronok atau tidak seronok watak yang dimainkan bergantung pada diri sendiri dan yang menilainya atau menontonya hanya Satu.. Yang Maha Berkuasa.
Permainan ini tidak akan berhenti setakat ini, ianya akan berulang dan permainannya juga tidak akan statik, akan berterusan sehingga saat dikembalikan.
Untuk memainkan peranan dalam watak-watak ini terdapat undang-undang dan peraturan yang menilai keberkesanan lakonan. Kalau terlalu mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan maka lakonan itu menjadi kaku dan tidak hidup, jika dibuat secara semborono atau tidak mengikut skrip, jadilah lakonan yang tidak menjadi, celaru dan keliru.
Peranan masing-masing berbeza dan perbezaan itu pula mengikut taraf. Ada yang jadi Hero, Heroin, , Mak , Bapak, Anak, Eksekutif, Ahli Perniagaan, Jaga, Pemandu Kereta dan sebagainya mengikut skrip yang telah ditetapkan.
Jika watak-watak ini memainkan peranan sebaik mungkin maka, pengakhiran cerita akan menjadi menyeronokan untuk disaksikan, tapi bila watak-watak ini tidak memainkan peranan yang sepatutnya jadilah cerita dongengan atau cerita yang tidak menjadi.
Lakonan watak-watak ini juga bergantung kepada bentuk pengarahan. Tanggungjawab sepenuhnya terhadap keseluruhan cerita bergantung kepada bentuk pengarahan disamping disiplin para watak. Pengarahan yang baik dapat mengolah cerita yang baik dan dapat membentuk lakonan yang baik. Penyampaian dan pengolahan yang baik dapat membuahkan sesuatu yang dapat dirasai dan dinilai waktu itu juga atau masa yang akan datang.
Memanglah hidup ini suatu sandiwara dan kita hanya pelakon di pentas dunia.
No comments:
Post a Comment