18 December 2013

ORANG HEBAT



Orang kata, untuk jadi hebat kena berkawan dengan orang-orang hebat. Itu orang katalah.. tapi kalau kita tidak hebat bagaimana nak bergaul dengan orang-orang hebat ni.. mahukah orang-orang hebat berkawan dengan kita?..

Selalunya orang-orang hebat akan berkawan dengan orang-orang hebat juga. Orang-orang tidak hebat macam kita ni dipandang sebelah mata, kalau mahu berkawanpun mahu dibuat seperti orang suruhan. Mampukah orang suruhan menjadi hebat kerana bergaul dengan orang-orang hebat?. Jawapannya tidak.. orang suruhan tetap orang suruhan.. tidak akan kemana-mana dan bila-bilapun tidak akan ternampak hebat.

Untuk hebat tidak hanya bergantung dengan bergaul dengan orang hebat. Untuk jadi hebat bukan perkara yang mudah walaupun tidak mustahil. Pokok pangkalnya kena ikhlas. Kalau tidak ikhlas..dan hanya untuk nampak hebat, bukanlah hebat namanya. Contoh untuk nampak hebat dan dapat bergaul dengan orang hebat kitapun membeli pakaian yang berjenama, membeli kenderaan yang hebat-hebat, tinggal dirumah yang besar dan hebat, sedangkan kehebatan yang kita pamerkan itu palsu, kerana kita sebenarnya tidak mampu untuk menampung kehebatan kita itu. Kehebatan seperti ini tidak ikhlas dan menjerat diri sendiri. Dimana setiap bulan kita terpaksa membayar harga lambang kehebatan kita itu sehingga rasa tidak bebas malah terjerut dengan hutang.

Untuk hebat tidak semestinya nampak hebat. Hebat dalam ertikata sebenarnya bukan terletak pada harta dan wang ringgit. Ada orang tidak ada hartapun tidak punyai banyak wang ringgitpun.. tapi ternampak hebat dimata orang yang melihatnya. Kehebatan insan ini tidak terletak kepada kekayaan dan gaya yang hebat tapi terletak kepada diri sendiri yang mempunyai akal fikiran yang hebat, Berfikiran hebat dan berpewatakan hebat. Punyai ilmu tapi tidak tamak berkongsi ilmu. Punyai kepakaran tapi tidak lokek berkongsi kepakaran.

Ada juga insan hebat dek kerana budinya, dek kerana pekertinya.

Semua orang mahu dipandang hebat.. mahu dihargai..mahu di iktiraf kehebatannya. Semua orang mahu hebat malah ada yang merasakan dirinya hebat walaupun orang lain tidak merasakan dirinya hebat. Oleh kerana keegoaan diri kita sendiri kadangnya membuat kita tidak mahu mengalah dan mengharap orang memandang tinggi pada kita sedangkan kita hanya menjerumuskan diri kita kelubang kebinasaan.

Begitulah penagan hebat dalam diri insan yang lemah ini. Namun begitu untuk jadi hebat bukan hanya bergaul dengan orang hebat tapi yang lebih tepat untuk menjadi hebat berlajarnya dengan orang yang hebat bagaimana mereka menjadi hebat.

Untuk mudah bicara untuk hebat jadilah diri kita sendiri.

No comments: