01 December 2009

TANAH AIR

Dalam kawasan perumahan ini tinggal pelbagai kaum (bangsa). Ada keluarga India, keluarga Cina, keluarga Serani dan keluarga Melayu. Kawasan perumahan ini letaknya dipingiran Kota. Kawasan perumahan ini tidaklah elit sangat tetapi setiap rumah ada pagar dan taman sendiri. Pagar-pagar kawasan perumahan inipun pelbagai jenis ada macam tembok, ada yang kawat berduri sahaja ada yang besi berpalang. Taman-taman didalamnya juga pelbagai ada yang cantik siap dengan air terjun buatan ada yang sederhana cukup dengan pokok-pokok bonsai sahaja dan ada juga yang dipenuhi lalang. Terpulang pada citarasa pemiliknya.

Setiap petang adalah mak cik-mak cik, nyonya-nyonya, aci-aci berjogging mengilingi taman perumahan ini. Ada yang berkumpulan, ada yang berpasangan, ada yang sendiri-sendiri. Rata-rata yang berjogging itu adalah penduduk tetap taman perumahan ini. Penghuni yang tinggal di kawasan perumahan ini kebanyakan usianya melebihi 40 tahun iaitu tuanpunya rumah dan isterinya, anak-anak dan cucu-cucu pelbagai peringkat umur. Menunjukkan kawasan perumahan ini telah lama didirikan dan penghuninya pula sudah ada generasi kedua atau ketiga.
Yang menarik perhatian bukan rumah atau laman mereka yang cantik berpagar tetapi lamanya mereka menghuni dan berjiran di kawasan perumahan ini. Mereka tinggal bersama, berkongsi tempat beriadah yang sama, bersosial, mencari keperluan harian malah anak dan cucu merekapun berkongsi taman permainan yang sama hingga dewasa.

Dalam kawasan perumahan ini juga ada restoran yang dipunyai mamak yang berasal dari India. Petang-petang ramai jugalah penghuni taman perumahan ini bertandang ke restoran ini, tambahan ada WiFi. Ada yang berinternet, ada yang berborak santai dan ada yang makan minum. Setiap meja ada kelompok tersendiri. Ada India, Ada Cina, ada Melayu malah ada juga yang bercampur India, melayu, Cina. Kalau orang negara luar datang, rasanya dia orang akan teruja dan takjub melihat keadaan ini.

Permandangan begini cuma dapat di lihat di negara ku yang tercinta, Tanah Melayu yang dinamakan Malaysia.

No comments: