Suasana Hari Raya sejak anak-anak telah membesar lain benar rasanya. Dulu waktu berkumpul di rumah emak di kampung riuh rendah jadinya. Mana yang berkejar di tengah rumah, mana yang terjerit di halaman. Malam Raya adalah malam yang paling sibuk, anak-anak buah riuh dihalaman bermain mercun dan bunga api. Di dapur, emak yang masih sihat sibuk menyediakan pelbagai masakan untuk hidangan di pagi Hari Raya. Aku, kakak dan adik perempuan sibuk membantu sambil bergossip.
Yang lelaki pula berkumpul di beranda bercerita pelbagai hal termasuk isu-isu semasa sambil menghirup kopi atau teh panas yang di buat emak.
Emak memang rajin di dapur. Sekarangpun walaupun sakit-sakit masih juga mahu ke dapur walau puas dilarang anak cucu.
Malam-malam Hari Raya tidak ada lagi kehidupan formal, tidurpun bersepah-sepah, terutama dihadapan TV. Maka ruang tamu rumah emak jadi bilik tidur, maklumlah rumah kampung bilikpun bukan banyak hanya cukup untuk dua tiga keluarga, yang lain carilah 'port' yang sesuai. Namun masing-masing tidak kisah, siapa yang balik dulu dialah yang dapat bilik, yang balik kemudian, tidur ruang tamulah jawapnya. Begitulah keadaannya, tiada yang berasa hati atau sakit hati. Kami menerima keadaan seadanya.
Begitulah suasana Hari Raya, tiga empat tahun yang lalu.. kini anak-anak buah semuanya sudah dewasa malah ada yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Adik beradik balik kerumah emakpun hanya untuk menjeguk kerana masing-masing ada komitmen lain, maklumlah ada yang telah bercucu dan anak-anak mereka yang sudah dewasa itupun ada hal mereka sendiri bersama rakan-rakan sebaya.
Kami sekeluarga balik ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat setelah enam hari di kampung. Buat ibu bapa di kampung doa ku supaya panjang umur dan sejahtera selalu. Terpaksa balik awal kerana anak-anak yang telah dewasa mahu beraya bersama rakan-rakannya disini dan rakan-rakan anak-anak mahu pula beraya di rumah. Kini giliran aku dan suami pula melayani kerenah anak-anak yang makin dewasa dan mungkin suasana dan perkara yang sama akan terulang kepada kami yang semakin di anjak usia. Begitulah putaran hidup. Kepada Abang, kakak dan adik dan anak-anak buah yang ramai diluar sana salam kemaafan diucapkan dan datanglah beraya ke rumah. Rayakan sebulan... (Bulan Syawal je..)
* Maaf.. tak buat rumah terbuka. Rumah sentiasa terbuka untuk kunjungan...(maklumkan dulu sebelum datang, boleh sediakan rendang dan ketupat/lemang).
*Sebenarnya semasa menulis entri ini, airmataku berliang dipipi.. kenangan dulu benar-benar mengusik hatiku.. hingga kini bila membaca kembali entri ini, air mataku kembali membasahi pipi.. indahnya kenangan, kalaulah boleh diulang kembali..
No comments:
Post a Comment